KPDN sita keropok pelbagai perisa guna logo halal tamat tempoh

Astro Awani
Julai 10, 2024 07:50 MYT
Dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Mertajam semalam, KPDN Pulau Pinang menyita produk makanan ringan keropok bernilai anggaran RM6,748 kerana menggunakan logo halal tamat tempoh. - Foto KPDN Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah kilang memproses keropok pelbagai jenama menggunakan logo halal tamat tempoh.
Pengarah KPDN Negeri Pulau Pinang S Jegan berkata, serbuan di rumah kedai dua tingkat, di Bukit Mertajam dijalankan bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).
Jegan berkata, siasatan mendapati premis rumah kedai dua tingkat yang dijadikan kilang itu didapati menggunakan Logo Halal Malaysia yang telah tamat tempoh sah ke atas produk jualannya iaitu makanan ringan keropok pelbagai perisa.
"Serbuan itu melibatkan seramai empat anggota penguat kuasa KPDN negeri dan dua pegawai Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu disyaki masih menggunakan Logo Halal Malaysia pada bungkusan makanan ringan keropok pelbagai perisa walaupun sijil halal telah tamat tempoh sah," katanya.
Susulan itu, pihak KPDN telah menyita produk makanan ringan keropok pelbagai perisa dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6,748.
Kes disiasat mengikut Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011
“Dalam undang-undang ini, semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam melainkan jika diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jegan berkata, KPDN negeri memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menggunakan Logo Halal Malaysia tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
#logo halal tidak sah #kilang keropok #KPDN Pulau Pinang #rumah kedai