KPDN serbu tiga premis seleweng barang kawalan bersubsidi

Bernama
Januari 17, 2025 22:56 MYT
KPDN melakukan tiga serbuan berasingan ke atas premis disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan serta ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi pada 15 dan 16 Jan lepas. - Foto KPDN (via BERNAMA)
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan tiga serbuan berasingan ke atas premis disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan serta ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi pada 15 dan 16 Jan lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil dalam kenyataan hari ini berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah premis tidak berlesen di Rantau, Negeri Sembilan.
"Satu sindiket dikesan melakukan aktiviti decanting iaitu memindahkan gas petroleum cecair (LPG) daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) yang bersubsidi kepada tong 50kg.
"Modus operandi sindiket adalah dengan mendapatkan bekalan LPG berkapasiti 14kg yang bersubsidi daripada pemborong berlesen di sekitar Sepang, Selangor untuk dikumpulkan di stor terbabit bagi melakukan aktiviti haram itu, sebelum diedarkan ke pasaran dan dijual mengikut harga semasa LPG industri tidak bersubsidi," katanya.
Shamsul Nizam berkata serbuan kedua pula dijalankan pada malam yang sama ke atas sebuah premis di Mantin, Negeri Sembilan, dan pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan tong LPG 14kg serta minyak masak paket 1kg tanpa dokumen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, kementerian itu turut menyita 15,000 liter minyak diesel di sebuah premis perindustrian di Seri Kembangan, Selangor yang tidak mempunyai dokumen sah semalam.
Shamsul Nizam berkata secara keseluruhan, sebanyak 559 tong gas LPG, 17 kotak minyak masak paket 1kg, 15,000 liter diesel, tiga lori dan beberapa dokumen perniagaan berjumlah RM351,367.70 dirampas.
"KPDN menahan lapan lelaki iaitu tiga warga asing dan lima rakyat tempatan berumur antara 20 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan, selain membuka tiga kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mengenal pasti pihak lain yang terlibat, termasuk pembekal dan pemborong berlesen," katanya.
Dalam kenyataan sama, Shamsul Nizam berkata KPDN melalui OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Jan melakukan 45,522 pemeriksaan yang membawa kepada 2,860 kes dengan nilai rampasan keseluruhan RM94.22 juta.
"Seramai 626 individu juga ditahan dalam tempoh sama. Bagi statistik berkaitan barang kawalan LPG sepanjang tempoh sama, sebanyak 217 kes telah dihasilkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM833,737.90," katanya.
-- BERNAMA
#kpdn #serbu #barang kawalan bersubsidi #ketirisan
;