KPDN serbu premis letak syarat jual gula

Bernama
Ogos 26, 2023 22:21 MYT
Pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan dengan taktik penyamaran di premis itu, kira-kira 1.30 tengah hari semalam. - Gambar hiasan
IPOH: Padah menjual gula pasir secara besyarat, sebuah premis perniagaan di Batu Gajah diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan dengan taktik penyamaran di premis itu, kira-kira 1.30 tengah hari semalam.
"Pegawai kita berpakaian preman menyamar sebagai pembeli ke premis berkenaan, untuk membeli gula pasir kasar yang berharga RM2.85 sepaket.
"Premis itu meletakkan syarat jika mahu membeli gula pasir kasar, perlu terlebih dahulu melakukan pembelian 1 kilogram gula putih jernih (premium) yang berharga RM4.50 sepaket," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata hasil siasatan dari penyamaran yang dijalankan mendapati, peniaga berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
"Pegawai penguatkuasa juga turut menemukan notis bertulis yang diletakkan di kotak dan digantung di rak jualan yang menyatakan syarat pembelian itu.
"Berikutan itu, KPDN Perak bertindak menyita 100 kilogram gula pasir kasar dan 74 kilogram gula pasir jernih untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM620.85," katanya.
Kamalludin berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961, berkaitan penjualan bersyarat barang kawalan dan peniaga berusia 61 tahun itu, bakal dikenakan tindakan.
"Para peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian barang kawalan dan tidak menyorok barang kawalan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah akta ini.
"Jika didapati bersalah mereka boleh didenda melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," katanya.
-- BERNAMA
#gula pasir #letak syarat #premis niaga #kpdn
;