KPDN serbu kedai sorok minyak masak peket, hanya jual kepada warga asing
Aida Aziz
Disember 4, 2023 05:00 MYT
Disember 4, 2023 05:00 MYT
IPOH: Tindakan seorang peniaga menyorok minyak masak peket bersubsidi dan hanya menjualnya kepada warga asing di sebuah premis perniagaan runcit dekat Desa Chepor Indah, Chemor di sini akhirnya terbongkar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aktiviti itu berjaya dibongkar setelah penguat kuasa KPDN melakukan serbuan di premis perniagaan tersebut pada jam 12.04 tengah hari pada Ahad.
Katanya, serbuan dilakukan setelah menerima aduan orang awam bahawa peniaga berkenaan enggan menjual minyak masak peket kepada warga tempatan, sebaliknya hanya kepada warga asing.
"Satu tindakan penyamaran melalui Op Samar dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN.
"Pegawai yang menyamar sebagai pembeli tempatan ini telah melakukan uji beli minyak
masak peket, tetapi peniaga tersebut memaklumkan bahawa minyak masak sudah habis dijual.
"Curiga dengan kenyataan peniaga tersebut, sepasukan penguat kuasa bertindak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas kedai runcit tersebut.
"Hasil pemeriksaan berjaya menemui sebanyak lima kotak minyak masak peket 1 kilogram (kg) yang diletakkan tepi kaunter dan di bahagian belakang premis," katanya dalam kenyataan semalam.
Kamalludin berkata, seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis gagal memberikan jawapan jelas mengapa minyak tersebut tidak dijual kepada pembeli.
Malah katanya, dia turut memaklumkan minyak masak habis apabila diminta.
"Pemantauan yang dilakukan ke atas premis juga mendapati kedai runcit yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 9 malam ini sering dikunjungi warga asing
"Tindakan sitaan dilakukan ke atas barang kawalan tersebut iaitu sebanyak 90 peket minyak minyak masak 1kg serta salinan lesen runcit barang kawalan (CSA), salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan dokumen berkaitan," katanya.
Jelasnya lagi, nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM225.
Sehubungan itu katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran pengawal atau mana-mana pengawal bekalan yang diberi kuasa oleh pengawal secara bertulis.