KPDN Selangor rampas 6,800 paket minyak masak
Bernama
Februari 8, 2024 19:06 MYT
Februari 8, 2024 19:06 MYT
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas 6,800 paket minyak masak bersubsidi bersaiz satu kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah premis di Klang dekat sini.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan hasil risikan pihaknya itu dilakukan pada 11.20 malam, 1 Feb lepas oleh sembilan anggota penguat kuasa negeri tersebut dengan dibantu empat pegawai penguat kuasa KPDN Pahang.
"Premis itu didapati itu tidak mempunyai lesen, permit atau kebenaran menyimpan minyak masak dan semasa serbuan itu kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lewat 60-an, dipercayai bekerja sebagai pemandu lori.
"Lelaki berkenaan ditahan untuk rakaman percakapan dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Zuhairi berkata berikutan itu pihaknya bertindak menyita sebanyak 6,800 paket minyak masak, sebuah lori dan dokumen perniagaan dianggarkan bernilai RM67,000 untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd Zuhairi berkata pasukannya juga berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan gas cecair (LPG) di sebuah premis di Rawang pada 29 Jan lepas dan merampas 307 unit tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama, dua buah lori, peralatan pemindahan dan dokumen berkaitan bernilai RM103,411.
"Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan dua pemandu lori dan seorang lagi disyaki individu bertanggungjawab ke atas aktiviti yang dijalankan di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata siasatan ke atas kedua-dua kes itu dilakukan mengikut Seksyen 20(1) dan 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) dan 18 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPNB) 1974.
-- BERNAMA