KPDN Selangor lupus barang rampasan bernilai RM1.7 juta

Bernama
Ogos 29, 2023 12:40 MYT
Ekshibit yang dilupuskan adalah tindakan bersepadu yang dilakukan sepanjang tahun ini dengan kerjasama pemilik cap dagang yang berdaftar. - Foto Facebook/KPDN Selangor
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor hari ini melaksanakan pelupusan barang rampasan bernilai RM1.7 juta bagi 50 kes yang mendapat arahan pelupusan oleh mahkamah Januari hingga Ogos lepas.
Pengarahnya Mohd Zuhairi Mat Radey berkata tindakan pelupusan itu membabitkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
"Antara jenis kesalahan yang terlibat bagi pelupusan ini adalah seperti penjualan barangan tiruan, penyelewengan barang kawalan bersubsidi, hak cipta dan penandaan harga yang mengelirukan," katanya kepada media selepas mengadakan Pelupusan Ekshibit Perdana 2023, di sini hari ini.
Beliau berkata antara barangan yang dilupuskan adalah peralatan komputer, produk kecantikan, produk kesihatan, aksesori telefon, alat ganti kenderaan, pakaian dan instrumen yang digunakan semasa aktiviti penyelewengan bahan api diesel bersubsidi.
"Kesemua 50 kes yang terlibat dengan arahan pelupusan ini telah lengkap disiasat dan ditutup kes dengan tujuh daripadanya merupakan kes yang telah dituduh dan dijatuh hukum oleh mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
#kpdn #barang rampasan #pelupusan #barangan tiruan
;