KPDN Sabah catat kompaun RM20,700 sepanjang Januari

Mirlen Axtius
Februari 2, 2023 14:52 MYT
Anggota Penguat Kuasa KPDN Sabah akan berada di lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari. - KPDN Sabah
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merekodkan 139 kes hasil dari pemeriksaan 8,112 premis di seluruh Sabah sepanjang bulan Januari.
Pengarah KPDN, Georgie Abas berkata kesemua kes itu melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Notis kompaun sebanyak RM20,700 telah dikeluarkan untuk pelanggaran ini.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah perundangan ini.
"Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Pada masa sama, Georgie turut berkata, bahawa pihaknya akan terus komited melaksanakan pemeriksaan premis perniagaan dan tindakan mengawalselia bekalan dan harga barang kawalan termasuk keperluan asas di setiap peringkat rantaian.
"Ini bagi memastikan keberadaan bekalan barang khususnya minyak masak, ayam dan telur ayam.
"Pemeriksaan juga dijalankan bertujuan untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan supaya sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa," tegasnya.
Georgie menambah, Anggota Penguat Kuasa KPDN negeri akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.
#kpdn #kawalan harga #pencatutan #Sabah
;