KPDN rancang terus bantuan tanpa tunai untuk pelajar Tingkatan Enam, kolej vokasional

Bernama
Julai 27, 2023 19:26 MYT
Fuziah berkata pihaknya memulakan inisiatif itu untuk pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional pada penghujung tahun lepas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang untuk meneruskan Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional dalam usaha menangani isu kos sara hidup kumpulan itu.
Timbalan Menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata pihaknya menerima cadangan tersebut menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) berikutan keberkesanan program itu yang mula dilaksanakan hujung tahun lepas.
"Menerusi program ini kita berjaya kenal pasti pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional terutama yang menetap di asrama kerana dalam kalangan mereka merupakan golongan B40 yang berdepan kesukaran dalam kos sara hidup.
"Kita tidak mahu ada golongan yang kita terlepas pandang. Saya berharap agar program ini bukan hanya dapat diteruskan malah mendapat peruntukan yang lebih banyak pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Sara Hidup dan Advokasi Kepenggunaan Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 240 pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional daripada kumpulan isi rumah B40 sekitar Kota Bharu menerima bantuan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan penerima setakat ini seramai 4,116 membabitkan peruntukan RM722,400.
Sebelum ini, KPDN telah melaksanakan Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai kepada golongan isi rumah B40 terutama mereka yang mendiami Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam sekitar Lembah Klang pada 2021.
Fuziah berkata pihaknya memulakan inisiatif itu untuk pelajar tingkatan enam dan kolej vokasional pada penghujung tahun lepas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata bantuan adalah dalam bentuk e-dompet bernilai RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut yang dijangka selesai diagihkan bulan depan.
Katanya, pihaknya turut menerima permohonan daripada pelajar untuk mengadakan Jualan Rahmah khas di sekolah.
"KPDN akan terus meneroka peluang libat urus dengan platform e-dompet yang boleh menawarkan baucar kepada golongan tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#kpdn #Fuziah Salleh #Bantuan Tanpa Tunai #Tingkatan Enam
;