KPDN rampas minyak diesel, aset bernilai RM34.5 juta sejak Mac

Madiha Abdullah
Ogos 24, 2023 23:20 MYT
Armizan berkata, rampasan itu termasuk 4.31 juta liter minyak diesel subsidi bernilai RM9.23 juta. - Gambar fail/Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas minyak diesel dan aset bernilai RM34.5 juta dalam Ops Tiris yang bermula 1 Mac hingga 23 Ogos lalu.
Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan itu termasuk 4.31 juta liter minyak diesel subsidi bernilai RM9.23 juta.
Beliau berkata, kementerian menyita pelbagai aset serta peralatan lain bernilai lebih RM25.24 juta, menjadikan keseluruhan rampasan minyak dan aset berjumlah RM34.48 juta.
“Sebanyak 379 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh sama melibatkan 305 individu merupakan warganegara, 71 individu warga asing manakala tiga individu adalah pemastautin tetap,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Tambahnya, sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan manakala sebanyak 121 aduan diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh tersebut.
Justeru itu, KPDN akan meneruskan Ops Tiris Fasa 2 bermula 1 September hingga 31 Disember tahun ini.
Fasa kedua ini akan dilaksanakan dengan beberapa penambahbaikan termasuk meluaskan skop siasatan meliputi keseluruhan rantaian bermula daripada sumber bekalan sehingga pembeli.
"Kalau sebelum ini, siasatan kita hanya tertumpu pada aspek di tengah iaitu pihak yang menyeludup, membeli dan kemudian menyerah kepada elicit buyer tetapi kali ini kita akan meluaskan skop supaya lebih berkesan.
"Kita tumpukan juga kepada aspek bekalan awal, contohnya stesen minyak juga kita akan siasat. Jadi kita harap pengusaha stesen minyak boleh bantu kita menyalur maklumat, contohnya jika ada kenderaan tertentu disyaki datang berulang kali atau buat modifikasi terhadap kenderaan mereka, kita harap mereka beri maklumat," katanya lagi.
#kpdn #rampas minyak diesel #Ops Tiris #Armizan Mohd Ali
;