KPDN rampas lebih 7,000 botol minyak pelincir, minyak transmisi automatik kenderaan tiruan

Bernama
November 11, 2024 11:00 MYT
Penguatkuasa KPDN memeriksa produk disyaki tiruan dalam serbuan di tiga premis minggu lalu. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan tiga individu dan merampas lebih 7,000 botol minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan disyaki tiruan dalam operasi di Lembah Klang pada 5 Nov lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga lelaki masing-masing berumur 30-an itu ditahan pada 11 pagi di dua premis di Kuala Lumpur dan sebuah di Selangor.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap premis terbabit membawa kepada penemuan sejumlah 3,631 unit minyak pelincir serta 3,605 unit minyak transmisi automatik yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
"Turut ditemukan ialah 710 unit penyejuk radiator serta 190 unit penapis udara kenderaan.
"Kesemua barangan terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM396,469," katanya dan menambah individu ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 815.
Azman berkata hasil maklumat awal yang diperoleh, kesemua premis terbabit menjalankan perniagaan menjual dan mengedar minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan jenama terkenal yang disyaki tiruan.
"Modus operandi ketiga-tiga premis ini adalah dengan mengedar barangan terbabit untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan turut menjual secara dalam talian kepada pengguna melalui platform pasar dalam talian," katanya.
Beliau berkata KPDN telah membuka kertas siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Selain itu, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Beliau berkata KPDN memberikan amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ia merupakan satu kesalahan yang serius.
"Selain itu, pengguna turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan termasuk minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan disyaki palsu.
"Hal ini kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan terhadap sistem enjin dan mekanikal kenderaan, selain dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#minyak pelincir #cap dagangan #minyak tiruan #kpdn
;