KPDN rampas 38,500 liter diesel disimpan di lokasi tidak berlesen
Bernama
November 7, 2024 16:10 MYT
November 7, 2024 16:10 MYT
BANDAR PERMAISURI: Sebanyak 38,500 liter minyak diesel untuk kegunaan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu, Kampung Mangkuk di sini yang disimpan di lokasi tidak sah dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, petang semalam.
Ringkasan AI
- KPDN Terengganu merampas 38,500 liter minyak diesel yang disimpan di lokasi tidak sah untuk Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu. Syarikat yang menjalankan projek tersebut gagal mematuhi peraturan lokasi penyimpanan bahan bakar.
- Syarikat disyaki memindahkan diesel dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen dan menyimpan jumlah diesel melebihi had yang dibenarkan dalam permit. Lokasi penyimpanan diesel memerlukan permit untuk mengelakkan kebakaran atau letupan.
- Selain diesel, dua lori dan dua tangki skid turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM982,035. Pengurus projek dan pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda atau penjara.
Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata rampasan dilakukan 12 penguat kuasa KPDN dan 11 anggota polis kerana pihak syarikat yang menjalankan projek itu gagal mematuhi peraturan lokasi penyimpanan bahan bakar berkenaan seperti yang termaktub dalam permit.
"Walaupun memiliki permit yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan diesel, syarikat disyaki telah memindahkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan iaitu dari tapak projek ke lokasi yang tidak berlesen atau diluluskan Pengawal Bekalan, kira-kira satu kilometer," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata lokasi penyimpanan diesel memerlukan permit bagi mengelak kebakaran atau letupan dan pelbagai pihak terlibat dalam meluluskan permit terbabit termasuk naziran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi memastikan pematuhan terhadap spesifikasi penyimpanan.
"Sebab itu kita nasihatkan kepada mana-mana pihak terlibat seperti kontraktor misalnya untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita faham ini projek kerajaan tetapi tetap kena patuhi peraturan demi keselamatan," katanya.
Saharuddin berkata syarikat itu juga disyaki mempunyai jumlah minyak diesel melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam permit iaitu 18,000 liter.
Beliau berkata selain diesel, pihaknya turut merampas dua lori dan dua tangki skid dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM982,035 manakala pengurus projek dan pemandu lori berumur 35 dan 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta, dan bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM5 juta," katanya.
-- BERNAMA