KPDN Pulau Pinang sita peralatan karaoke bernilai RM114,000

Dewi Nur Harasha Alias
April 11, 2023 21:46 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas beberapa peralatan karaoke dan sistem karaoke yang di dalamnya mengandungi milikan karya muzik yang disyaki salinan langgaran. - Foto ihsan KPDN
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas beberapa peralatan karaoke dan sistem karaoke yang di dalamnya mengandungi milikan karya muzik yang disyaki salinan langgaran.
Keseluruhan rampasan bernilai RM114,000 itu dilakukan semasa serbuan KPDN bersama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di pusat hiburan di Taman Limbungan Indah, di Butterworth 5.22 petang Isnin.
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata, terdapat 32,000 karya muzik di dalam sistem karoake terbabit bernilai RM3 setiap lagu yang dipercayai melanggar akta ditetapkan.
“Susulan itu, pihak kita mengambil tindakan menyita kesemua peralatan karaoke yang ada dalam premis berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Antara yang disita adalah sistem karaoke, satu unit amplifier, satu unit processor, mikrofon, televisyen, pembesar suara dan alat kawalan jauh dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM114,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata kes disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Manakala bagi kesalahan yang berikutnya mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Tegasnya, KPDN ingin memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba memiliki salinan langgaran akan dikenakan tindakan tegas.
“Sebarang maklumat atau aduan dari orang awam bagi membantu membanteras aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya amat dialu-alukan,” katanya lagi.
#sita peralatan karaoke #KPDN Pulau Pinang #karya muzik disyaki salinan langgaran #Taman Limbungan Indah
;