KPDN Pulau Pinang serbu stor haram seleweng LPG bersubsidi

Bernama
Februari 20, 2025 22:24 MYT
S. Jegan berkata pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan itu sebelum menjalankan risikan termasuk membuat pemantauan menerusi dron sejak seminggu lepas. - Gambar fail/Bernama
TASEK GELUGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 334 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Selamat, di sini hari ini.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan itu sebelum menjalankan risikan termasuk membuat pemantauan menerusi dron sejak seminggu lepas.
"Sebanyak 10 penguat kuasa menjalankan operasi itu dan semasa serbuan pada 3 petang, pihak kami menghadapi kesukaran apabila pemiliknya enggan membuka pagar automatik sehingga pasukan serbuan terpaksa memanjat pagar.
"Bahagian hadapan kawasan stor haram itu menempatkan rumah pemiliknya dan kami percaya semasa serbuan, terdapat beberapa pekerja, namun mereka melarikan diri melalui jalan belakang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan pihaknya menemukan 334 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) serta 12kg yang kesemuanya bernilai RM33,818.40 dan stor haram itu beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dengan lesen peruncitnya telah tamat tempoh sejak tahun lepas.
Jegan berkata pemiliknya iaitu seorang lelaki berusia lewat 60-an dipercayai menjalankan perniagaan berkenaan sejak lima tahun lepas dan keterangannya telah direkodkan dengan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian perniagaan yang dijalankan warga emas itu.
"Kita percaya suspek mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan itu," katanya dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta usaha mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam kegiatan berkenaan dan rantaian pengendalian LPG berkenaan giat dijalankan.
-- BERNAMA
#kos sara hidup #kpdn #warga emas #siasatan lanjut
;