KPDN perluas kempen ‘JOM KOSONG' secara berperingkat

Bernama
September 13, 2024 14:48 MYT
Fuziah bercakap semasa sidang media pada Jelajah Kempen JOM KOSONG di Restoran Tepi Sungai Jamilah hari ini. - Foto Bernama
KLUANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas kempen 'JOM KOSONG' secara berperingkat dalam usaha mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia di seluruh negara.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata kempen itu bagi menyokong Kempen Perangi Gula yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kadar pengambilan gula rakyat Malaysia.
Buat masa ini, KPDN memberikan tumpuan kepada rangkaian restoran mamak dan kedai-kedai tomyam yang sering menjadi pilihan serta tumpuan rakyat Malaysia.
Berhubung program hari ini, Fuziah berkata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) antara persatuan terawal yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini selain Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).
"Di bawah rakan strategik PRESMA ada 688 (rangkaian restoran) di seluruh negeri Johor dan kita akan jelajah lagi kempen ini nanti.
"Selain itu, kita juga ada persatuan-persatuan lain yang turut menyatakan komitmen sama iaitu Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia," katanya.
Fuziah berkata kempen itu mampu memberikan penjimatan kepada pelanggan dengan pengurangan harga sebanyak 20 sen bagi setiap minuman tanpa gula yang dipesan.
"Melalui penglibatan pengusaha makanan dan restoran di seluruh negara dalam kempen perangi gula ini, kita berharap ia akan menjadi budaya dan gaya hidup baharu dalam masyarakat Malaysia melalui amalan pengurangan pengambilan gula dalam minuman atau makanan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#kempen 'JOM KOSONG' #Fuziah Salleh #pengambilan gula #kpdn #rakyat Malaysia
;