KPDN perkemas bantuan pemindahan tunai, galak rakyat daftar PADU - Armizan

Hasimi Muhamad
Januari 20, 2024 15:02 MYT
Armizan ketika hadir pada Program Jualan Rahmah sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Perlis, di Padang Besar pada Sabtu.
PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam proses memperkemaskan bantuan khususnya secara pemindahan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebelum penyasaran semula subsidi dilaksanakan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata penambahbaikan tersebut bergerak serentak dengan kementerian dan agensi terbabit meliputi formula yang akan ditetapkan berdasarkan pertimbangan Jemaah Menteri.
“Jadi apa yang saya boleh katakan bahawa antara penambahbaikan untuk STR tersebut yang akan dilaksanakan sebelum penyasaran subsidi adalah jumlahnya akan meningkat.
“Kedua, kumpulan sasar juga akan meningkat, bukan hanya tertumpu lagi kepada golongan miskin tegar, miskin, dan B40 tetapi cakupan penerima STR sebelum penyasaran semula subsidi... melibatkan golongan sasar yang lebih luas.
“Jadi kita harapkan, rakyat memberikan kerjasama untuk memastikan mereka memperkemaskan butiran melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Ini kerana data ini cukup penting untuk kita melihat siapa boleh mendapatkan bantuan tersebut dan jumlah bantuan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Rahmah sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Perlis, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata pihaknya sedang melaksanakan program bantuan di seluruh negara termasuk melalui Jualan Rahmah bagi meningkatkan pendaftaran rakyat dalam PADU.
Jelas beliau, inisiatif tersebut bagi memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada menikmati manfaat kerajaan.
“Asasnya adalah data yang ada dalam PADU. Kenapa kerajaan wujudkan PADU, pertama untuk kita mengintegrasikan data sedia ada dan dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran (PADU), kita memberi ruang kepada rakyat untuk buat verifikasi agar nengurangkan ralat iaitu mereka yang mungkin tercicir daripada mendapat bantuan tersebut.
“Jadi kita ingin mengalakkan rakyat kita untuk pastikan jangan tunggu hingga tarikh akhir, mula sekarang memperkemaskan data yang terdapat dalam PADU,” katanya lagi.
Armizan menambah komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat turut dizahirkan melalui penambahbaikan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima membabitkan perbelanjaan RM130 juta tahun lalu.
Ujarnya, menerusi pengumuman tersebut juga kategori penerima SARA kini membabitkan golongan miskin dan miskin tegar berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata KPDN dijangka memperluaskan lagi program Jualan Rahmah pada tahun ini termasuk memastikan akses ke kawasan pedalaman, selaras dengan peningkatan peruntukan kepada RM200 juta berbanding RM100 juta pada tahun lalu.
#kpdn #bantuan tunai #PADU #Armizan Mohd Ali
;