KPDN Perak serbu kilang cili kisar guna logo halal tidak sah
Bernama
Januari 10, 2024 16:37 MYT
Januari 10, 2024 16:37 MYT
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah kilang memproses cili kisar, kerana disyaki menggunakan logo halal tidak sah di Kawasan Perindustrian Silibin, di sini semalam.
Pengarah KPDN negeri Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi bermula pukul 10.30 pagi itu, dilaksanakan hasil maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan pihaknya.
"Seorang lelaki tempatan berumur 60an dipercayai pemilik premis, gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata KPDN menyita kesemua cili kisar yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, plastik pembungkus yang tertera logo halal, barangan pembungkusan dan lain-lain dokumen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Beliau berkata nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM43,185.80.
Beliau berkata kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8 (a) perintah yang sama.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.
"Satu Perintah Tutup Premis Makanan juga telah dikenakan ke atas kilang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kerana mendapati tahap kebersihan kilang tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
"KPDN juga ingin menasihati serta menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuatkuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan," katanya.
-- BERNAMA