KPDN Perak patahkan cubaan seleweng diesel bersubsidi, pengusaha stesen minyak disiasat
Aida Aziz
Januari 6, 2024 07:15 MYT
Januari 6, 2024 07:15 MYT
KUALA KANGSAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 di stesen minyak Jalan Puncak Bougainvillea, di sini, pada Sabtu.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi sekitar jam 2.45 pagi itu adalah hasil maklumat risikan anggota penguat kuasa yang mengesan terdapat aktiviti pembelian minyak diesel mencurigakan menggunakan sebuah lori bonded.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan lima buah tangki Kontena Pukal Pertengahan (IBC) yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel berada di dalam lori tersebut.
"Seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori turut berada di tempat kejadian dan gagal mengemukakan sebarang dokumen melibatkan permit atau lesen barang kawalan apabila diminta.
"Lelaki terbabit mendakwa, beliau hanya pekerja dan dibayar gaji oleh majikan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak dan perlu menunggu arahan selanjutnya bagi mengetahui destinasi penghantaran apabila telah selesai pembelian.
"Sehubungan itu, tindakan sitaan dilaksanakan ke atas kenderaan lori bonded tersebut bersama lima unit tangki IBC, 4,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel, satu set pam dan dokumen yang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, pemandu lori telah ditahan untuk siasatan lanjut dan rampasan keseluruhan kes itu dianggarkan bernilai RM44,575.
Tambahnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Pengusaha stesen minyak juga akan diambil tindakan penguatkuasaan kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan dengan membenarkan mana-mana individu membuat pengisian minyak diesel ke dalam tong dan bukannya tangki asal kenderaan, tanpa kebenaran atau kelulusan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
"Dan turut disiasat kerana disyaki tidak mematuhi Arahan Pengawal Bekalan mengenai penjualan minyak diesel melebihi 250 liter bagi satu transaksi," katanya.
Kamalludin berkata, KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkat kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.
Ia bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan barang kawalan bersubsidi yang akan merugikan negara.