KPDN Perak patahkan aktiviti seleweng minyak diesel bersubsidi, rampasan lebih RM700,000

Amirrul Rabbani
Januari 6, 2023 14:15 MYT
Hasil risikan mendapati, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menggunakan lori tangki bekalan minyak sawit untuk membawa minyak diesel. - Foto KPDN Perak
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan lori tangki bekalan minyak sawit, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata kejayaan itu hasil serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Silibin dekat sini yang melibatkan rampasan lebih RM700,000.
Katanya dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 1 tengah hari itu KPDN Perak turut menahan lima pekerja dengan tiga daripadanya warga asing bagi membantu siasatan.
Ujarnya lagi, hasil risikan mendapati, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menggunakan lori tangki bekalan minyak sawit untuk membawa minyak diesel.
"Kita dapati mereka melakukan pengisian diesel secara kerap dan berulang-ulang menggunakan sebuah kepala motolori (prime mover) di stesen minyak sekitar Silibin bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kepala motolori ini kemudiannya akan ke lokasi pengumpulan dan memindahkan minyak diesel dari tangki lori tersebut ke sebuah tangki simpanan lain menggunakan pam elektrik sebelum dipindahkan semula ke sebuah tangki khas 'bekalan minyak sawit' untuk dihantar dan dijual ke pihak industri di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Tambah Saifullizan, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis pihaknya berjaya mengesan sebanyak 6,490 liter cecair disyaki minyak diesel, empat kepala motolori dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut ke atas premis juga mendapati, ia telah beroperasi selama sebulan tanpa lesen yang sah oleh pihak berkuasa.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM762,615 dan ini adalah kejayaan kedua pada bulan ini bagi KPDN Perak dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
"Semua rangkaian sindiket, pemilik kenderaan, pemilik premis dan stesen minyak yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
#KPDN Perak #rampas diesel #lori tangki minyak sawit #Kawasan Perindustrian Silibin
;