KPDN Perak pantau peniaga makanan, minuman sepanjang Tahun Melawat Perak 2024

Bernama
Januari 16, 2024 04:20 MYT
Kamalluddin Ismail berkata, pihaknya tidak berkompromi selain akan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana peniaga yang ingkar. - Gambar FB KPDN Perak
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan melakukan pemantauan secara bersepadu bagi memastikan para peniaga makanan dan minuman di negeri ini patuh serta tidak mengambil kesempatan seperti menaikkan harga sepanjang tempoh Tahun Melawat Perak 2024.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalluddin Ismail berkata, pihaknya tidak berkompromi selain akan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana peniaga yang ingkar.
"Kita nak semua pelancong yang datang ke sini tidak terbeban dan dilindungi daripada perkara yang tidak sepatutnya berlaku khususnya membabitkan harga makanan dan minuman.
"Saya juga nak ingatkan, selain bertindak daripada maklumat atau aduan orang ramai, kita juga akan melakukan siasatan sekiranya perkara terbabit tular dalam media sosial," katanya pada sidang media bersempena dengan Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak di Kawasan Perusahaan IGB, di sini, pada Selasa.
Pada 7 Jan lepas, KPDN Perak melakukan pemeriksaan mengejut terhadap sebuah premis makanan hasil laut di Pulau Pangkor yang didakwa mengenakan caj tidak masuk akal terhadap para pelancong.
Hasil pemeriksaan melalui Op Samar itu mendapati premis berkenaan tidak meletakkan tanda harga pada makanan yang belum dimasak serta tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut itu.
Kamalluddin berkata, beliau turut meminta masyarakat untuk membuat laporan atau aduan segera kepada pihaknya jika terbukti terdapat peniaga yang melakukan kegiatan sebegitu.
"Kita minta rakyat supaya jangan berdiam diri dan laporkan sekiranya ada berlaku kegiatan tidak bermoral ini. Kita tak mahu kejadian-kejadian ini membuatkan pelancong tidak mahu datang serta pada masa yang sama memburukkan imej negeri," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) terhadap barangan kawalan yang akan ditentukan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
"Kita akan beri perhatian sewajarnya, lebih-lebih lagi Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 Februari ini ... kita harap peniaga juga akan patuh dengan garis panduan ditetapkan," katanya. - BERNAMA
#kpdn #SHMMP #imej negara #garis panduan
;