KPDN patahkan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM20 juta

Bernama
Ogos 21, 2024 21:49 MYT
Azman (tengah) ketika sidang media hari ini berkenaan kejayaan menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0, dengan nilai ketirisan subsidi minyak masak dianggarkan RM20 juta.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata penyelewengan itu melibatkan tiga syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Perak dan masing-masing satu syarikat pemborong minyak masak di Johor dan Selangor.
"Rantaian penyelewengan bermula dengan syarikat penapis minyak masak bersubsidi di Ipoh, Perak yang menghantar minyak masak dengan kuantiti keseluruhan 550 tan metrik sebulan kepada tiga syarikat pembungkusan minyak masak di negeri itu. Selepas dibungkus, ketiga-tiga syarikat itu sepatutnya menghantar minyak masak itu kepada peruncit yang berdaftar dengan mereka.
"Apa yang berlaku ketiga-tiga syarikat itu berpakat hanya membungkus sebahagian kecil minyak masak tersebut dan mengedarkannya kepada peruncit. Sebahagian besar minyak itu sebaliknya dijual kepada syarikat pemborong di Selangor dan Johor," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata syarikat pemborong di Selangor dan Johor pula bertindak membotolkan minyak masak bersubsidi itu dan dijual di pasaran mengikut harga minyak masak botol bukan bersubsidi.
Susulan itu, beliau berkata serbuan bersepadu melibatkan kerjasama KPDN Putrajaya, Perak, Selangor dan Johor dibuat pada 9 Ogos lepas dan dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, yang merupakan pekerja syarikat berpangkalan di Johor itu, ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata selain minyak masak, sitaan turut dilakukan ke atas beberapa dokumen perniagaan seperti invois belian dan jualan, dokumen tuntutan subsidi minyak masak di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS), wang tunai RM163,000 dan beberapa peralatan serta kenderaan yang digunakan dalam aktiviti haram itu.
Azman berkata kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi.
Selain tu, beliau berkata kesemua syarikat yang terlibat turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].
Siasatan di bawah akta tersebut adalah untuk kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta hingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak bersubsidi.
Beliau berkata aktiviti penyelewengan itu telah menyebabkan gangguan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran tempatan.
"Sebagai langkah tegas pihak kementerian memutuskan untuk mengantung kuota ketiga-tiga syarikat pembungkusan terlibat bagi memastikan ketirisan yang berlaku selama ini dapat dihentikan serta-merta. Ia juga bagi mengelakkan kerugian kepada pihak kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#kpdn #harga minyak #pengubahan wang haram #perlucutan hak