PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau aktiviti pencatutan dengan segera bagi mengelakkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan susulan pengumuman pelarasan gaji melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN akan bertindak tegas kepada peniaga yang menaikkan harga kerana pelarasan gaji penjawat awam itu tiada kaitan dengan kos operasi dan perniagaan.

"Kita telah membuat persiapan sebaik sahaja kerajaan membuat pengumuman mengenai perancangan untuk melaksanakan semakan gaji melalui SSPA ini.

"Perancangan awal telah kita buat dan maklumkan kepada Perdana Menteri sebab risiko itu ada. Walaupun kenaikan gaji hanya akan bermula 1 Dis, kita khuatir ada pihak tertentu buat pencatutan dari awal supaya tidak ketara.

"Jadi, pemantauan penguatkuasaan perlu dibuat dengan kadar segera," katanya kepada pemberita di lokasi Op Tiris 3.0 di sini hari ini.

Armizan berkata pergerakan harga barang dan perkhidmatan tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan melakukan pelarasan gaji bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya penjawat awam.

Beliau berkata KPDN akan melancarkan satu gerakan massa pada September ini bagi memperkasa penguatkuasaan dalam usaha mengekang aktiviti pencatutan dan ketirisan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk orang awam.

Sehubungan itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan khas bersama anggota penguat kuasa KPDN di Putrajaya pada 23 Ogos ini.

"Kita akan mendengar amanat beliau khusus kepada warga KPDN. Pada majlis itu, kita akan melapor kepada beliau operasi dan langkah yang telah kita laksanakan khususnya terkait aspek ketirisan pencatutan pascapengumuman pelarasan gaji dan pengenalan SSPA," katanya.

Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 hari ini memberi peringatan kepada syarikat dan pemilik kedai supaya tidak memberi tekanan kepada harga barang khususnya makanan apabila pelarasan gaji penjawat awam dilaksanakan Disember ini.

-- BERNAMA