KPDN Negeri Sembilan sasar 30 peratus lot Bazar Ramadan tawar Menu Rahmah
Bernama
Mac 9, 2023 20:35 MYT
Mac 9, 2023 20:35 MYT
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus lot bazar Ramadan di negeri ini disediakan bagi melaksanakan konsep Menu Rahmah, kata Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan.
Beliau berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dan mengadakan taklimat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penganjur bagi menyediakan Menu Rahmah di gerai masing-masing sekali gus membantu golongan tidak bernasib baik mendapatkan juadah berbuka pada harga berpatutan.
"Di peringkat KPDN negeri, kita ada Bazar Ramadan Rahmah dan kita dah panjangkan ke peringkat kerajaan negeri. Kita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seremban dan beri taklimat kepada 60 penganjur bazar di Seremban manakala daerah lain akan buat pada 15 Mac ini.
"Kita juga ada pasukan pendigitalan industri perniagaan dan di situ kita akan berikan token e-dompet kepada peniaga dan pengunjung bazar Ramadan, jadi kedua-duanya dapat manfaat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis 'Walkabout Cintai Asnaf Back To School' di sini hari ini.
Beliau berkata setakat hari ini sebanyak 35 premis makanan yang berdaftar di Negeri Sembilan telah menyediakan Menu Rahmah termasuk di restoran makanan segera dan pasar raya selain yakin masih ramai pengusaha yang berbuat demikian atas inisiatif sendiri.
Dalam pada itu, Muhammad Zahir menyeru semua pengusaha restoran dan kedai makan untuk berdaftar di portal kementerian itu bagi mempromosikan premis masing-masing yang menawarkan konsep itu selain memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi berkenaan.
"Kita jamin kualiti dan kebersihannya, kita juga menggalakkan lebih banyak premis bersama-sama mendukung aspirasi tanggungjawab sosial ini dan berkongsi rasa dengan masyarakat, bukan sahaja makanan, mungkin nanti ada yang buat set Pakaian Rahmah dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA