KPDN Negeri Sembilan rampas 16,000 liter diesel bersubsidi di Seremban

Bernama
Jun 22, 2023 13:04 MYT
Pemeriksaan menyeluruh di premis itu mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel dari tong IBC yang berada di dalam lori bonded ke dalam lori tangki. - Foto KPDN Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 16,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM34,400 dalam serbuan Op Tiris di Taman Bukit Sentosa, dekat sini semalam.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata turut disita dalam serbuan itu adalah sebuah lori tangki, sebuah lori bonded, enam unit tong intermediate bulk containers (IBC) dan dua unit paip penyambung yang menjadikan anggaran rampasan berjumlah RM59,400.
Katanya, sembilan anggota terlibat dalam operasi itu berdasarkan aduan diterima daripada orang awam serta hasil pemantauan oleh pasukan risikan KPDN negeri.
"Pemandu lori tangki serta kelindan ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen dan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Pemeriksaan menyeluruh di premis itu mendapati terdapat aktiviti pemindahan minyak diesel dari tong IBC yang berada di dalam lori bonded ke dalam lori tangki. Dua lelaki warga tempatan yang berada di lokasi kejadian turut ditahan bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel terbabit termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan.
-- BERNAMA
#KPDN Negeri Sembilan #diesel bersubsidi #barang kawalan #aktiviti pemindahan minyak diesel
;