KPDN minta laporan pengusaha susu formula berhubung dakwaan kenaikan harga
Amirrul Rabbani
Jun 17, 2023 13:26 MYT
Jun 17, 2023 13:26 MYT
LUMUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta supaya semua pengusaha susu formula di negara ini untuk menyediakan laporan berkaitan kenaikan harga bahan berkenaan dalam tempoh enam bulan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tindakan itu diambil bagi menyiasat rungutan dan aduan para pengguna yang mendakwa berlaku kenaikan harga di pasaran.
Walau bagaimanapun, katanya hasil pemantauan di pasar raya setakat ini mendapati harga susu formula jenama-jenama terkenal masih dijual pada kadar harga berpatutan.
“Kita lihat dahulu (siasat aduan dan) sebab itu saya minta (laporan berkenaan) pergerakan harga enam bulan (di pasaran) dan sekiranya benar aduan itu betul, maka libat urus akan kita adakan dengan pihak pengeluar (pengusaha susu formula).
“Kalau tak ada (tidak berlaku peningkatan harga), maka kita akan beri suatu laporan nanti bahawa memang tidak berlaku kenaikan (harga susu formula) yang melampau. Namun, kita sentiasa memantau setiap perkara yang rakyat adukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melakukan lawatan kerja dan pemantauan di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Pada Jumaat, sebuah akhbar melaporkan keluhan pengguna berikut berlaku kenaikan harga mendadak terhadap susu formula di pasaran antara RM10 hingga RM30.
Dilaporkan harga susu formula berharga RM189 untuk 1.8 kilogram (kg) sebelum ini dikatakan telah naik kepada RM208 sejak dua minggu lalu dan ia menekankan penggunaan khususnya ibu bapa.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan harga susu formula untuk pesakit kanser yang dikatakan semakin meningkat, Salahuddin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.
“Saya akan cuba berbincang dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya rakyat biasa boleh beli di hospital kerajaan yang mana mungkin harganya akan sedikit rendah.
“Saya difahamkan KKM membelinya secara secara pukal dan oleh sebab itu kita akan adakan perbincangan, (sebabnya) jika ia dibeli di farmasi harganya mahal,” ujarnya.