KPDN Melaka serbu kedai runcit bekal barang bersubsidi kepada restoran
Bernama
Mac 5, 2024 21:00 MYT
Mac 5, 2024 21:00 MYT
MELAKA: Kelicikan seorang pengusaha restoran mamak dengan membuka kedai runcit haram bersebelahan premis makanannya untuk mengaburkan aktiviti membekalkan barangan bersubsidi kepada restoran tersebut, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, di sini hari ini.
Pengarahnya Norena Jaafar berkata kegiatan dua premis tersebut di Melaka Raya, Banda Hilir di sini yang dimiliki dan dikendalikan oleh warga asing itu, terbongkar menerusi maklumat orang awam serta siasatan dan operasi yang dilakukan penguat kuasa KPDN Melaka hari ini.
"Ini modus operandi terbaharu yang dikesan dan kita percaya ia dilakukan kerana kedai makan tidak dibenarkan menggunakan minyak masak paket bersubsidi yang dikhaskan untuk isi rumah, serta serbuan-serbuan yang kerap dilakukan oleh penguat kuasa.
"Jadi, mereka buka kedai runcit bersebelahan dengan kedai makan dengan beranggapan kedai runcit tersebut akan membekalkan barangan kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak kepada kedai makan berkenaan," katanya pada sidang media selepas serbuan tersebut dilakukan.
Norena berkata dalam serbuan tersebut 493 kilogram (kg) minyak masak paket, 50 paket tepung gandum dan 276 paket gula bersubsidi serta dua tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hampir 845kg bernilai RM2,000.
Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu, akan memberi kesan kepada lebih 200 isi rumah yang sepatutnya mendapat barangan bersubsidi, terutamanya minyak masak paket 1kg.
Norena berkata hasil siasatan juga mendapati kedai runcit tersebut yang baru dibuka 10 hari lepas itu, bukan sahaja tidak berdaftar dengan pihak majlis berkuasa tempatan, malah tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit kebenaran menyimpan barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Mereka ini sangat berani melanggar peraturan dan langkah seterusnya ialah kita akan pergi kepada pemborong yang jual barangan kawalan ini kepada mereka (pemilik kedai runcit).
"Sekiranya ada kesalahan berlaku tindakan keras akan diambil, sebab kita sudah memberi amaran kepada pemborong, agar tidak menjual kepada mana-mana organisasi atau individu yang tidak mempunyai lesen bagi barangan kawalan. Malah kita juga akan terus melakukan pemantauan dan serbuan agar perkara ini tidak lagi berlaku di Melaka," katanya.
-- BERNAMA