KPDN laksana Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sepanjang 5 hari

Abdul Hafiz Mustadi
Disember 21, 2023 10:45 MYT
Armizan menghadiri Program Jualan Rahmah di perkarangan Kedai Kepayan Rumah Murah, Kota Kinabalu. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 selama 5 hari bermula 23 sehingga 27 Disember.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 14 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan skim tersebut sepanjang tempoh berkenaan.
"Antara barangan akan diwartakan seperti daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import daripada China dan Indonesia, lobak merah, cili merah, ubi kentang import China, bawang merah besar import, dan bawang kuning besar.
"Manakala lima lagi barangan yang turut terlibat dalam skim ini merupakan barangan yang dikawal di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan iaitu, kepak ayam, babi hidup, dan daging babi selain kawalan bekalan ayam tua hidup hanya dilakukan di Sarawak", ujar Armizan dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pada masa sama, menurut Armizan SHMMP Krismas 2023 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat ke atas pengeluar, pemborong dan peruncit.
Tindakan tegas katanya akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut melalui AKHAP 2011.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.
"Pemeriksaan dan pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan akan dilaksanakan oleh penguatkuasa KPDN di seluruh negara bagi membolehkan penguatkuasaan SHMMP Krismas 2023 dapat dilaksana dengan lebih berkesan.
"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui AKHAP 2011", tambah Armizan.
Untuk rekod, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum di bawah AKHAP 2011 boleh dikenakan penalti sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, atau kompaun RM50,000 bagi individu.
Manakala, syarikat pula boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 untuk individu sementara denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 akan dikenakan terhadap syarikat.
#kpdn #SHMMP #Krismas #Armizan Mohd Ali
;