KPDN Kelantan saran peniaga bazar Ramadan sedia Menu Rahmah
Bernama
Mac 15, 2023 18:51 MYT
Mac 15, 2023 18:51 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyarankan agar peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri ini memperkenalkan Menu Rahmah dalam jualan mereka.
Pengarahnya Azman Ismail berkata tindakan itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan yang merancang untuk membuka Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh negara tidak lama lagi.
Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pemain industri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk merealisasikan hasrat tersebut.
"Kita menyasarkan 30 peratus daripada peniaga menyediakan Menu Rahmah. Tindakan ini adalah bagi meringankan beban pengguna, dan kita merasakan menu di bawah RM5 amat berpatutan dalam keadaan sekarang.
"Setiap peniaga yang berdaftar dengan KPDN akan menerima banting (gegantung) Menu Rahmah untuk dipamerkan di gerai jualan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini, hari ini.
Azman berkata pihaknya kini sedang dalam penelitian ke atas tiga bazar Ramadan iaitu di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Pasir Tumboh dan Kubang Kerian bagi penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 115 peniaga di negeri ini sudah berdaftar untuk menyediakan Menu Rahmah.
-- BERNAMA