KPDN Kelantan akui minyak masak paling banyak diseludup ke Thailand

Bernama
November 12, 2024 04:15 MYT
Azman bercakap pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan bekalan barangan kawalan berjadual menjelang musim banjir, di Kota Bharu, 12 Nov 2024. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengakui minyak masak merupakan barangan keperluan asas yang paling banyak diseludup ke Thailand.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata ini berikutan permintaan tinggi daripada penduduk negara jiran itu memandangkan barangan berkenaan dijual pada harga yang jauh lebih mahal berbanding di Malaysia.
"Oleh itu, KPDN sentiasa menjalankan risikan dan bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini," katanya kepada pemberita selepas memeriksa bekalan barang keperluan di Wakaf Bharu dekat sini semalam.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai sama ada pemborong dan peruncit terlibat bersubahat dalam kes penyeludupan ini, Azman berkata KPDN akan menyiasat perkara berkenaan.
Pada Isnin, media melaporkan, PGA mematahkan cubaan menyeludup 13,000 kilogram gula dan 5,100 peket minyak masak dalam kejadian berasingan menerusi Operasi Taring Wawasan di Wakaf Bharu.
-- BERNAMA
#KPDN kelantan #minyak masak #seludup #Thailand
;