KPDN Kelantan agih 250,000 kg bekalan gula ke seluruh negeri
Sinar Harian
Mei 2, 2023 09:30 MYT
Mei 2, 2023 09:30 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah mengagihkan 250,000 kilogram (kg) gula kepada pasar raya di seluruh negeri ini pada Isnin ekoran kekurangan stok bahan mentah itu dipasaran sebelum ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, agihan itu dilakukan secara berperingkat termasuk kepada pemborong dan peruncit dari masa ke masa.
"Kami menjangkakan isu ketiadaan bekalan gula di pasaran dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua hari lagi.
"Kita menyarankan kepada pengguna dan peruncit supaya mendapatkan bekalan mengikut ketetapan yang dibenarkan," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, pengguna tidak perlu membuat pembelian panik kerana bekalan kembali mencukupi di pasaran.
Sebelum itu, Sinar Harian pada Isnin melaporkan kesukaran mendapatkan bekalan gula di pasaran, memaksa peniaga kedai makan di negeri ini menggantikan bahan mentah itu dengan menggunakan susu pekat bagi meneruskan perniagaan berasaskan minuman.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh peniaga yang ingin dikenali sebagai Noraini, 54, berkata, sejak dua hari lalu dia terpaksa menggunakan susu pekat sebagai pengganti rasa manis minuman. - Sinar Harian