KPDN Kedah sita mesin pembungkus beras dan 9,000 liter diesel
Bernama
Oktober 30, 2023 21:45 MYT
Oktober 30, 2023 21:45 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas sebuah mesin pembungkus beras dalam Op Beras Putih Tempatan di sebuah kilang beras di Mergong di sini hari ini.
Pengarah Pejabat KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata pemeriksaan yang bermula pada 8.30 pagi itu mendapati mesin yang digunakan untuk membungkus beras tersebut disyaki tidak ditentusahkan.
"Nilai sitaan dianggarkan RM35,000 dan kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata operasi itu turut melibatkan agensi Kawalselia Beras dan Padi, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Sementara itu, Affendi berkata dalam operasi berasingan pada 24 Okt lepas di sebuah kilang beras di Simpang Empat dekat sini, pihaknya merampas 9,000 liter diesel kerana tidak mempunyai permit untuk menyimpan barang kawalan tersebut.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota penguat kuasa KPDN menemui sebuah tangki gelongsor yang mengandungi minyak diesel anggaran 6,000 liter dan 3,000 liter di dalam tiga unit tangki IBC (Intermediate Bulk Container).
"Nilai rampasan bagi bahan bakar itu dianggarkan RM28,800," katanya dan menambah siasatan dijalankan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
-- BERNAMA