KPDN Johor sita lebih 1.6 juta kg minyak masak seleweng bernilai RM8.47 juta

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 28, 2024 15:50 MYT
KPDN berkata, kes berkenaan akan disiasat menerusi Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. - Gambar/ KPDN
KULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita sebanyak 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak di sebuah syarikat membungkus minyak masak di Kulai, Rabu lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan susulan pengauditan yang dilakukan oleh sepasukan Pegawai Penguat Kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Putrajaya ke atas dokumentasi urus niaga penjualan minyak masak syarikat tersebut.
Katanya pemeriksaan mendapati kuantiti minyak masak yang berada di premis tersebut melebihi dari had kuantiti simpanan minyak masak yang diluluskan di bawah Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong.
"KPDN Johor membuat pemeriksaan di sebuah syarikat membungkus minyak masak di sekitar Kulai, kira-kira jam 8.15 malam, bagi mendapatkan maklumat serta mengemukakan pengisytiharan stok di bawah Sekyen 8, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
"KPDN mengambil langkah menyita 1,635.3 tan metrik pelbagai jenis minyak masak dengan nilai mencecah RM8.47 juta selain merampas beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Lilis Saslinda, pihaknya akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.
Katanya kes berkenaan akan disiasat menerusi Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
"Jika disabit kesalahan, denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
"Kita juga mengalu-alukan aduan awam dan telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat," katanya.
#minyak masak seleweng #kilang minyak masak #kpdn #operasi bersepadu
;