KPDN batal kemudahan 'fleet card' jika pemiliknya salah guna, menyeleweng

Bernama
Ogos 20, 2024 22:11 MYT
Shamsul Nizam (tengah) menyampaikan surat arahan bekalan kepada wakil pengusaha stesen minyak pada Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Minyak Negeri Perak di Dewan Kolej Poly-Tech Mara hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Pemegang 'fleet card' yang didapati menyalahgunakan kemudahan itu bagi tujuan penyelewengan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berkemungkinan berdepan tindakan pembatalan kad berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shamsul Nizam Khalil berkata ia susulan pihaknya telah mengesan taktik baharu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dengan menyalahgunakan 'fleet card' di sekitar Selangor dan Pulau Pinang.
"Tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan 1961 dan sekiranya terbukti bersalah syarikat yang menyalahguna 'fleet card' akan dikenakan tindakan pembatalan daripada kemudahan itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Advokasi dan Serahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada Pengusaha Minyak Negeri Perak dekat sini hari ini.
Beliau berkata secara logiknya sesebuah kenderaan mempunyai had maksimum mengisi minyak 250 liter, maka tidak mungkin kenderaan itu akan mengisi lagi minyak pada hari yang sama atau berulang mengisi minyak.
Shamsul Nizam berkata syarikat yang menggunakan 'fleet card' mendapat subsidi dan jurang harga yang besar sehingga mereka mengambil kesempatan untuk mengaut untung.
Sementara itu Shamsul Nizam berkata Perak menjadi negeri keempat selepas Kedah menguatkuasakan larangan pembelian berulang bagi diesel dan petrol bersubsidi RON95 di semua 429 stesen minyak seluruh negeri ini.
"Hasil pemantauan KPDN, penyeludup telah mula beralih kepada aktviti menyeludup minyak petrol RON95, maka kita keluar arahan pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak tidak lagi dibenarkan.
"Arahan Pengawal ini dikeluarkan berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari yang sama kepada kenderaan berpendaftaran Malaysia dan asing yang berkuat kuasa serta-merta," katanya.
Beliau berkata 28, 387 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dalam Ops Tiris 3.0 bagi tempoh 1 Jan sehingga 18 Ogos membabitkan 1,946 kes diambil tindakan, melibatkan nilai rampasan RM75. 44 juta dengan 478 tangkapan.
"Di bawah pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 juga, KPDN telah menempatkan pegawai penguat kuasa di pintu masuk sempadan negara iaitu negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (MCBA) bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
-- BERNAMA
#kpdn #batal fleet card #penyelewengan diesel #SKDS