KPDN, Astro tekad perangi isu penyiaran tanpa lesen
Astro Awani
Februari 28, 2024 12:21 MYT
Februari 28, 2024 12:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berganding bahu bersama Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) menjalankan program advokasi bagi meningkatkan kesedaran pemilik perniagaan makanan dan hiburan berhubung Akta Hak Cipta 1987.
Melalui program itu, KPDN Kuala Lumpur disertai wakil Astro melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap sejumlah premis perniagaan di Kepong.
Hasil pemeriksaan pada Sabtu mendapati hampir 70 peratus pemilik perniagaan terbabit disyaki menayangkan kandungan Astro tanpa menggunakan lesen yang sewajarnya untuk premis komersial.
Menurut Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, tindakan yang diambil adalah dengan memberikan nasihat kepada premis-premis berkenaan tentang pelanggaran perundangan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
“Pemeriksaan dan pemantauan susulan akan dilakukan pada lain masa. Sekiranya premis berkenaan itu didapati bersalah, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 43AA(1) Akta Hak Cipta 1987.
“Tindakan pemeriksaan bersama pihak Astro ini amat penting dalam memastikan harta intelek melalui hak cipta ini dilindungi dan tidak dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab agar tidak timbul isu di kemudian hari.
"Di bawah akta ini juga, premis yang terbabit boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan," katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Kepenggunaan di Dewan Bunga Raya, Pejabat KPDN Kuala Lumpur.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada persatuan-persatuan pemilik perniagaan makanan serta persatuan pengguna berkenaan kepentingan pematuhan ke atas perundangan hak cipta, khususnya berkaitan kesalahan pelanggaran hak cipta yang melibatkan teknologi penstriman.
Program advokasi kali ini telah disampaikan oleh penceramah daripada Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Bahagian Hak Cipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (IPO) dan Bahagian Pengurusan Kandungan Platform Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memberikan kefahaman yang komprehensif kepada wakil persatuan.
Turut serta dalam program ini adalah wakil-wakil persatuan seperti Pertubuhan Sahabat Tomyam Perihatin Semalaysia (Sahabat Tomyam), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Pengusaha Restoran India (Primas), Rakan KPDN dan Persatuan Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal dan Warga Emas (Perwatie), serta Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM).
Sementara itu, dalam temu bual yang berlainan, Ketua Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, cetak rompak digital itu telah menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi dan menggesa jenayah itu ditangani secara menyeluruh.
“Ini perlu dilakukan demi menjamin pendapatan mereka yang terjejas akibat tindakan beberapa golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
“Pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan, pengawal selia, penyiar, pemegang hak, penyedia kandungan, pencipta kandungan serta perusahaan komersial harus bersatu dalam memerangi cetak rompak,” katanya lagi.