KPDN adakan perbincangan kaedah pembahagian royalti artis
Bernama
Julai 4, 2023 17:04 MYT
Julai 4, 2023 17:04 MYT
SHAH ALAM: Beberapa siri perbincangan jawatankuasa bertindak bagi isu berkaitan industri muzik rakaman tanah air dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) khususnya dalam meneliti kaedah pembahagian royalti, sejak ia ditubuhkan Mac lepas.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof berkata perbincangan yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu bersama wakil pemain industri muzik, bagi merangka kertas pertimbangan atau kertas cadangan dalam melaksanakan model baharu yang dapat menjaga kepentingan semua pihak terlibat.
"Menerusi jawatankuasa tersebut kita nak cari satu keputusan atau model terbaik bagaimana (isu pembayaran dan pengiraan) royalti ini dapat dibuat.
"(Tempoh dipanjangkan royalti) juga antara perkara yang dibangkitkan semasa perbincangan dengan pemain industri. Jadi kita akan perhalusi perkara itu dan mengarahkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mengkaji apakah tempoh masa yang bersesuaian berdasarkan kepada praktis yang terbaik," katanya.
Azman berkata pada pemberita selepas sidang media Konsert Ulang Tahun ke-20 Lapan Lagenda Rock, Satu Malam, Satu Pentas, Muzik Hebat di sini hari ini.
Azman berkata selain perbincangan mengenai pembayaran royalti, KPDN juga akan meneliti kaedah terbaik bagi membantu artis melibatkan diri dalam bidang perniagaan khususnya dalam memudah cara perniagaan serta produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dipetik sebagai berkata satu jawatankuasa bertindak bagi membincangkan isu berkaitan industri muzik rakaman tanah air akan ditubuhkan.
Beliau berkata isu bayaran dan pengiraan royalti serta penubuhan badan tunggal untuk menyelesaikan isu badan pelesenan serta melindungi hak para pemilik hak cipta adalah antara perkara yang akan dibincangkan untuk dicari penyelesaian oleh jawatankuasa itu.
Terdahulu, Konsert Ulang Tahun ke-20 Lapan Lagenda Rock, Satu Malam, Satu Pentas, Muzik Hebat yang menampilkan penyanyi rock tanah air antaranya Datuk Nash, Aris Ariwatan, Joey Bumiputra Rockers dan Rahmad Mega bakal dilangsungkan pada 29 Sept depan di Zepp, Kuala Lumpur.
Tiket konsert boleh didapati di laman sesawang my.bookmyshow.com atau menghubungi nombor di talian 03-9212 4202.
-- BERNAMA