KP1M bawa 40 tan bekalan makanan, ubatan ke Gaza

Bernama
Ogos 7, 2014 04:16 MYT
Abdul Azeez bersama para sukarelawan Misi Kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin ke Gaza meneliti barang keperluan perubatan serta keperluan asas ketika menghantar para sukarelawan tersebut di KLIA malam tadi. - fotoBERNAMA
Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza akan membawa sejumlah 40 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan bagi membantu penduduk Palestin yang sengsara selepas serangan kejam Israel.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sebanyak 20 tan bantuan terdiri daripada bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan lain akan dibawa dari negara ini manakala selebihnya akan dibeli di Mesir.
"Pasukan pertama akan berlepas hari ini (Rabu) disertai lapan sukarelawan yang berperanan meninjau segala keperluan di sana sebelum kumpulan berikut menyusul kemudian.
"Selain itu, misi ini akan mendirikan khemah khas Malaysia di Sempadan Rafah, Mesir yang menjadi pusat sehenti bantuan sebelum dihantar kepada penduduk Palestin," katanya ketika bertemu pasukan pertama misi yang berlepas ke Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Beliau berkata kumpulan pertama ini juga akan turut membawa tiga tan bekalan makanan dan ubatan untuk keperluan rakyat Palestin.
Katanya, misi bantuan kemanusiaan KP1M kali ini disertai 65 orang, terdiri daripada 35 doktor manakala selebihnya pasukan sukarelawan dan petugas media dalam misi selama 15 hari.
Menurut beliau, pasukan kedua bakal berlepas pada 9 Ogos dengan membawa 4 tan bantuan dan kumpulan seterusnya pada 12 Ogos dengan membawa 13 tan bekalan bantuan.
"Oleh itu, kami berharap rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik dapat mendoakan misi kemanusian ke Gaza berjalan lancar dan bantuan berjaya disalurkan kepada penduduk.
"Jika tiada sebarang masalah, misi ini akan tamat pada 19 Ogos dan kami akan berlepas pulang ke tanah air selepas misi berjaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kelab itu turut merancang membawa balik 100 kanak-kanak Palestin yang cedera ke Malaysia bagi memberi bantuan perubatan susulan.
"Namun, semua ini bergantung kepada undang-undang dan kebenaran pihak yang terbabit di Palestin," katanya.
#Abdul Azeez Abdul Rahim #bantuan #Gaza #Israel #KP1M #Palestin