KP SPRM: Pelantikan Latheefa Koya muktamad - Tun Mahathir

Astro Awani
Jun 8, 2019 16:50 MYT
Dr Mahathir dan isteri menyampaikan duit raya kepada Muhammad Nursyahmi Mohd Sabri, 7 tahun, pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar di Alor Setar hari ini. Turut hadir, Mukhriz dan Norzieta (kanan). --fotoBERNAMA
Tidak akan wujud sebarang 'pusingan-U' mengenai perlantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya, memandangkan ia adalah keputusan muktamad Perdana Menteri.
Demikian ditegaskan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan beberapa pelantikan membabitkan perjawatan awam telah dibuat beliau sebelum ini dan pelantikan Latheefa adalah sebahagian daripada proses tersebut.
"Tak ada masalah. Saya lantik banyak orang. Banyak pegawai saya terpaksa lantik, ini salah satu daripada pegawai. Kalau dah putuskan, muktamadlah. Takkan nak 'kalih' balik, nanti kata saya 'u-turn'," katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mengesahkan beliau melantik Latheefa tanpa berbincang dengan Kabinet kerana sudah menjadi amalan biasanya sejak dahulu lagi membuat keputusan tanpa perlu mendapatkan persetujuan jemaah menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir turut menjelaskan, hubungannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, adalah baik.
"Hubungan dengan Anwar baik. Saya tidak ada masalah dengan dia. Dia berhak tanya, saya berhak untuk jawab," katanya, ketika diminta mengulas kenyataan Anwar berhubung pelantikan Latheefa.
BACA: Berhenti melalak dan "membawang", PM sudah buat keputusan - Shukri
BACA: Latheefa, sila letak jawatan jika bermaruah - AMK
Pada Khamis, Anwar berkata, Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk memperjelaskan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mengakui beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga pengumuman dibuat.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Turut serta isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria.
BACA: Jangan curiga pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM - Khairuddin
BACA: Lantikan Latheefa, realiti sebenar kelemahan urus tadbir - Bersih 2.0
Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 1 Jun diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun lalu, bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Mohd Shukri telah memohon untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya lebih awal, sebelum ia tamat pada 17 Mei 2020.
Susulan itu, Latheefa melepaskan keahlian dalam PKR berkuatkuasa serta merta.
BACA: "Saya akan jadikan Malaysia alah rasuah" - Latheefa Koya
BACA: Majoriti tidak pertikai kelayakan Latheefa, cuma isu proses - Hanipa
#Anwar Ibrahim #kabinet #Ketua Pesuruhjaya #Latheefa Beebi Koya #Latheefa Koya #Mahathir Mohamad #Mohd Shukri Abdull #pelantikan #perjawatan awam #persetujuan jemaah menteri #PKR #pusingan-U #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #u-turn
;