KP pertama MSN Wan Ahmad Radzi meninggal dunia

Bernama
Oktober 29, 2022 21:07 MYT
Bekas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara, Wan Ahmad Radzi Wan Abdul Rahman meninggal dunia tengah hari tadi, pada usia 87 tahun di Hospital UiTM.
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah (KP) Majlis Sukan Negara (MSN), Wan Ahmad Radzi Wan Abdul Rahman meninggal dunia tengah hari tadi, pada usia 87 tahun di Hospital UiTM.
Allahyarham merupakan KP Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) pada awal 80-an dan individu yang bertanggungjawab mengaktifkan MSN selaku KP pertama badan sukan itu dari 1980 hingga 1981.
"Seluruh warga MSN mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosanya, diterima segala amal ibadahnya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman dan beramal soleh," menurut MSN di Facebook rasminya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam petang tadi.
Allahyarham merupakan bapa kepada bekas atlet ekuestrian wanita negara dan personaliti televisyen, Wan Zaleha Radzi serta bekas atlet berbasikal wanita kebangsaan Wan Maizan Wan Radzi.
Sementara itu, KP MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Wan Ahmad Radzi adalah seorang individu yang mempunyai personaliti menarik dan tegas.
"Saya tidak mengenalinya secara rapat kerana saya hanya menyertai MSN pada 1988, tetapi mengenalinya menerusi penglibatan anak-anaknya dalam sukan, serta ketika beliau diberi pengiktirafan sebagai KP MSN pertama pada Anugerah Sukan Negara 2014," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA
#ketua pengarah MSN #Majlis Sukan Negara #Wan Ahmad Radzi Wan Abdul Rahman #bapa Wan Zaleha meninggal dunia
;