'KP Pelancongan bukan dipecat, tapi turun pangkat sebab prestasi merosot' - King Sing

Hasimi Muhamad
Februari 24, 2024 12:35 MYT
Menurut King Sing, tindakan tersebut dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan mencapai standard ditetapkan.
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar tidak dipecat sebaliknya diturunkan jawatan kepada Timbalan Pengarah, kata Menteri Pelancongan, Seni dan
Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut King Sing, tindakan tersebut dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.
Jelas beliau, MOTAC telah memutuskan pengganti jawatan tersebut disandang oleh Manoharan Periasamy, dan pelantikan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Saya memang sudah bagi banyak kali peluang dan nasihat termasuk timbalan saya... apa yang dia boleh buat yang terbaik untuk negara kita mengenai pelancongan.
“Tetapi saya tidak tahu... dia tiada idea atau dia tak tahu. Kalau kamu tidak boleh ‘perform’ saya mesti tukar dan ia bukan pecat.
“Saya bagi dia turun pangkat sahaja, memang dari dulu bila Ketua Pengarah (KP), bekas KP pencen memang dia dalam senarai bukan nombor satu.
“Saya beri peluang sebab dia ada PhD (Ijazah Kedoktoran) dalam pelancongan.
“Tetapi dia tidak jalankan tugas, dia tidak membuktikan PhD itu. Dia tidak melakukan libat urus dengan negeri-negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
King Sing berkata, Ammar dijangka bersara pada Mac tahun depan tetapi MOTAC tidak boleh menunggu sehingga tempoh tersebut bagi memastikan industri pelancongan dapat terus berkembang.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pelantikan Manoharan tidak boleh dijadikan sebagai isu perkauman.
"Jangan mainkan isu perkauman, kita semua sama.
“KP Mano (Manoharan) naik, dia ikut proses... semua Akta (Industri) Pelancongan 1992. Kita ikut akta.
“Tiada langsung mengenai rasis. Kita kata semua (pelbagai kaum), lain- lain kaum macam mana? Polis pun ada lain kaum juga.
“Mana kita boleh kita kasi (pegang jawatan) kalau dia tak boleh buat kerja, jangan kasi malu kementerian atau Tourism Malaysia,” tambah beliau lagi.
Manoharan ketika ini merupakan Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), memangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan).
Sebelum ini, Ammar didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin depan.
Penamatan itu, berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.
#Ketua Pengarah Pelancongan #pecat #Tiong King Sin #turun pangkat
;