Kotor dan jijik! 4 kilang proses makanan, restoran ikan bakar popular diarah tutup

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 13, 2018 19:33 MYT
Antara kesalahan yang dilakukan termasuk penemuan najis tikus dan lipas berhampiran bahan mentah. - Gambar Astro AWANI
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang telah mengarahkan empat buah kilang memproses makanan dan sebuah restoran ikan bakar terkenal di Seberang Perai Utara selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.
Premis kilang termasuk kilang memproses kicap di Sungai Puyu, sebuah kilang laksa, sebuah kilang mee dan kilang roti di Kepala Batas yang diarahkan tutup dalam 'Operasi Pulau Pinang Sihat' yang diadakan di sekitar Seberang Perai Utara .
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, premis-premis terbabit diberi notis tutup selama 14 hari kerana didapati kotor selain dikenakan kompaun.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk penemuan najis tikus dan lipas berhampiran bahan mentah.
“Pemeriksaan perlu dibuat bagi membolehkan kerja pembaikan khususnya membuat pagar bagi menghalang tikus daripada keluar masuk ke dalam kilang disamping memastikan tahap kilang terjaga dengan rapi dan mengarahkan pemilik kilang, tidak ada pekerja yang menghisap rokok sepanjang berada di kilang kerana dikhuatiri akan mencemarkan makanan yang dihasilkan,” kata Dr Wan Mansor ketika ditemui Astro AWANI di sini gari ini.
Wan Mansor berkata, dalam operasi serentak di sekitar daerah terbabit, pihaknya turut mengarahkan sebuah premis pengumpulan plastik kitar semula di Kepala Batas ditutup selama 14 hari kerana disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Selain premis itu yang turut dikenakan kompaun, sebuah lagi premis jenis sama dikenakan tindakan mahkamah kerana mengulangi kesalahan pembiakan nyamuk aedes kali kedua.
Wan Mansor berkata, pihaknya turut mengeluarkan 15 kompaun berjumlah RM3,750 bagi kesalahan merokok di kawasan larangan seperti pejabat kerajaan dan stesen pengangkutan awam dalam operasi itu.
Menurutnya, pada operasi yang melibatkan sebanyak 29 premis itu, pihaknya mengeluarkan kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM25,350.
#Jabatan Kesihatan Pulau Pinang #kompaun #kotor #Operasi Pulau Pinang Sihat #penyakit #restoran #Seberang Perai Utara
;