Kotakan janji, Anthony Loke tolak pemberian hadiah telefon bimbit

Astro Awani
Ogos 21, 2018 21:11 MYT
Anthony menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan 'mengotakan kata' dan enggan menerima sebarang hadiah pada mana-mana acara. -Gambar fail
Berpegang pada janji!
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini menjadi viral apabila enggan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan yang diberikan kepadanya pada majlis pelancaran perkhidmatan e-hailing tempatan.
Semua itu dilakukan Anthony sebagai mematuhi dasar tidak terima hadiah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
"Saya minta maaf tetapi saya tidak boleh terima ini," tegasnya ketika diberikan dua telefon bimbit selepas pelancaran Diffride, perkhidmatan e-hailing baharu.
Susulan tindakannya itu, Anthony sekali lagi menjelaskan pada sidang media bahawa kerajaan Pakatan Harapan 'mengotakan kata' dan enggan menerima sebarang hadiah pada mana-mana acara.
"Kerajaan baharu dan semua menteri, kami mengotakan kata, dan saya ingin memaklumkan kepada penganjur acara di masa depan, sila ambil perhatian kerana ini peraturan baharu oleh kerajaan baharu.
"Saya tidak perlukan sebarang hadiah. Lain kali, jika anda undang saya ke majlis, saya hanya akan hadir. Saya tidak perlukan sebarang hadiah," katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 Jun dilaporkan berkata menteri-menteri kini tidak lagi boleh menerima hadiah di bawah dasar baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Menurut Dr Mahathir, hadiah hanya dihadkan kepada bunga, makanan dan buah-buahan.
#anthony #Anthony Loke #dasar #e-hailing #hadiah #Kota janji #Menteri Pengangkutan #Pakatan Harapan #Telefon bimbit #viral
;