Kotak Rezeki CB-Prihatin bantu B40 sempena Hari Malaysia

Astro Awani
September 24, 2021 12:16 MYT
Kamari Zaman (empat dari kanan) bersama penerima Kotak Rezeki CB-Pritatin sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Seremban baru-baru ini. - Foto CBP
KUALA LUMPUR: Program Kotak Rezeki Co-opbank Pertama (CB)-Prihatin membantu golongan asnaf, fakir, miskin dan B40 yang menetap dalam lingkungan berhampiran dengan cawangan CBP sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021.
Pengerusi Co-opbank Pertama (CBP), Kamari Zaman Juhari berkata, objektif utama pihaknya menganjurkan program itu adalah untuk melaksanakan tanggungjawab sosial CBP kepada komuniti yang memerlukan bantuan terutama golongan asnaf, fakir, miskin serta golongan B40 yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Jelasnya, untuk kali ini, agihan kotak rezeki telah dibuat menerusi 12 cawangan CBP terpilih di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan di sepanjang bulan Ogos dan September.
"Sebanyak RM120,000 telah disalurkan menerusi peruntukan wakalah zakat perniagaan CBP.
"Selain itu, ia juga bertepatan dengan hasrat untuk merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ke-58 pada tahun ini.
"Lebih dari 2,000 ketua keluarga yang dikenal pasti melalui kerjasama dengan ketua masyarakat setempat telah menerima manfaat dari program ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA: CBP perkenal sistem e-Temujanji mudahkan urusan pelanggan di cawangan
BACA: CBP umum pembayaran dividen RM58.3 juta untuk tahun 2020
Dalam pada itu ujarnya, walaupun terkesan dengan penularan COVID-19, CBP tetap meneruskan usaha untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu masyarakat.
Tambahnya, CBP sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa responsif terhadap kebajikan golongan yang memerlukan bersesuaian dengan prinsip asas gerakan koperasi yang menitikberatkan nilai-nlai kekeluargaan dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Selain Program Kotak Rezeki CB-Prihatin, Kamari Zaman berkata CBP juga aktif melaksanakan tanggungjawab sosialnya menerusi program CSR Kembali Ke Sekolah dan sumbangan peranti tablet kepada sekolah terpilih di seluruh negara sebelum ini.
Katanya lagi, Program Kotak Rezeki itu akan diteruskan lagi sepanjang bulan Oktober hingga Disember 2021.
Sebelum ini, Kamari Zamari berkata, pihaknya meluluskan lebih 47,000 permohonan moratorium Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sehingga pertengahan Julai lalu, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.2 bilion.
Jelasnya, secara keseluruhannya, permohonan tersebut melibatkan pelanggan bagi Pembiayaan Persendirian-i, Perumahan-i dan Ar-Rahnu.
#COVID-19 #Moratorium #pandemik #Hari Malaysia
;