Kota Marudu bukan lagi zon hijau COVID-19, satu kes positif direkodkan
Ruzaini Zulkepli
Mei 23, 2020 17:43 MYT
Mei 23, 2020 17:43 MYT
Kota Marudu tidak lagi dikategorikan sebagai zon hijau COVID-19 selepas mencatatkan kes positif pertama.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes terbaru dan pertama bagi daerah itu adalah melibatkan seorang pesakit yang dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Kota Kinabalu.
"Pesakit terbabit telah dirujuk dari Hospital Kota Marudu ke HWKKS selepas dikesan positif COVID-19. Kita akan melakukan siasatan mengenai punca jangkitan terbabit," katanya.
Sementara itu, satu lagi kes terbaru melibatkan seorang pesakit yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau.
Katanya, setakat Khamis lalu, seramai 1,619 individu telah disaring di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) susulan 19 penerbangan mendarat di lapangan terbang itu.
"Ia merangkumi empat penerbangan sewa khas yang membawa pulang 904 pelajar IPT dan 15 penerbangan komersil melibatkan seramai 715 orang penumpang," katanya
Untuk rekod, Sabah mencatatkan lima kes kematian dan 340 positif pandemik berkenaan setakat Selasa.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, empat premis telah diarahkan tutup kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standart (SOP) ditetapkan JKNS.
Premis berkenaan adalah membabitkan dua buah restoran, satu kedai runcit di daerah Sandakan dan sebuah pusat asuhan di Lahad Datu.
Penutupan keempat-empat premis itu dilakukan di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
#Christina Rundi
#COVID-19
#Datuk Dr Christina Rundi
#Hospital
#kesihatan
#Kota Kinabalu
#Kota Marudu
#penerbangan
#pesakit COVID-19
#Sabah
#siasatan