Kos vaksin COVID-19 Malaysia lebih rendah berbanding Belgium - Khairy
Umavathi Ramayah
Januari 5, 2021 18:27 MYT
Januari 5, 2021 18:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kos vaksin COVID-19 untuk seorang rakyat Malaysia adalah lebih murah berbanding di Belgium.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan Belgium membelanjakan RM1.38 bilion kepada 16.75 juta rakyatnya.
Menurut beliau, ini bermakna, Belgium akan memberikan dos vaksin kepada setiap rakyatnya dengan anggaran harga RM82.40 seorang berbanding harga bagi seorang rakyat Malaysia iaitu RM77.35.
"Belgium mendedahkan anggaran kos pembelian vaksin COVID-19 adalah RM1.38 billion untuk 16.75 juta orang.
"Kalau apa yang terbocor itu benar, maka purata harga bagi suntikan vaksin di Belgium adalah RM82.40.
"Kita membelanjakan kos RM2.05 billion kepada 26.3 juta penduduk, iaitu 83 peratus daripada populasi dan hanya mencecah RM77.35," katanya pada sidang media mengenai perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Parlimen di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, tular dakwaan yang kononnya Malaysia membayar harga vaksin COVID-19 kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding yang dibayar kerajaan Belgium.
Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, Malaysia tidak lambat menerima vaksin jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Australia yang hanya akan menerima vaksin COVID-19 pada Mac depan, dan Thailand pada Mei, serta Jepun pada Februari.
"Singapura menerima vaksin lebih awal berbanding kita kerana mengeluarkan bajet yang besar iaitu RM3 bilion bagi populasinya yang hanya terdiri kira-kira tiga hingga empat juta.
"Mereka barangkali mengeluarkan duit muka yang tinggi," katanya lagi.
#vaksin
#Pfizer
#kos murah
#Belgium
#bajet besar
#Singapura
#Thailand
#MOSTI
#Kementerian Kesihatan
#populasi
#Khairy Jamaluddin