Kos selenggara Equanimity RM 3 juta sebulan

Sinar Harian
Ogos 7, 2018 19:17 MYT
Siasatan untuk menentukan hak pemilikan kapal pula mungkin mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan. -Gambar fail
Kos penyelenggaraan kapal layar mewah Equanimity dianggarkan berjumlah RM 3 juta sebulan.
Peguam Jeremy Joseph berkata buat masa sekarang kerajaan akan menanggung semua kos penyelenggaraan kapal mewah milik ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low).
Menurutnya, siasatan untuk menentukan hak pemilikan kapal pula mungkin mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.
“Siasatan berhubung pemilikan kapal mungkin ambil masa dalam enam ke sembilan bulan, tapi mungkin lebih awal juga.
“Selain dari pemilikan, kita juga bincangkan penyelenggaraan kapal. Agak mahal untuk selenggara kapal itu. Untuk masa sekarang, kerajaan yang akan selenggara.
“Jumlah sebenar tak pasti tapi mungkin dalam RM3 juta tapi itu sekadar anggaran, belum tahu jumlah sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dalam Equanimity bersama pasukan khas Jabatan Peguam Negara, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara perkara yang akan dibuat selepas ini adalah mencara inisiatif untuk menyelenggara kapal tersebut.
“Selepas ini kita akan cuba cari cara untuk selenggara kapal tersebut. Itu yang kita akan cuba selesaikan terlebih dahulu,” ujarnya.
#Equanimity #hak pemilikan kapal #Jabatan Peguam Negara #Jeremy Joseph #kapal layar mewah #Kos penyelenggaraan #Low Taek Jho
;