Kos sara hidup: Usahakan penyelesaian bersama, saling bergantung redakan keadaan

Madiha Abdullah
Julai 7, 2022 10:57 MYT
Golongan peniaga, khususnya yang terlibat dalam PMKS, dinasihat berfikir secara kreatif dan objektif dalam menangani kenaikan harga barang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Isu kos sara hidup tidak boleh dibebankan kepada satu pihak semata-mata.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, usaha secara kolektif perlu berjalan kerana semua pihak mempunyai peranan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
"Kita tahu kerajaan tidak berdiam diri, mereka cuba buat sesuatu. Subsidi dan harga siling tidak habis di situ sahaja, kerana ia perlu pemantauan. Kita tidak mahu ada pihak melakukan pencatutan.
"Polisi eksport, sama juga seperti negara lain yang mengehadkan eksport. Jadi, semua ini ada kesan. Tetapi dari segi pasaran, kita tidak boleh bertahan hanya dengan subsidi, kerana 'a distorted market' akan memberi kesan.
"Pasaran perlu gambarkan situasi, kos pengeluaran dan permintaan, ia tidak boleh berterusan kerana negara akan terbeban.
"Di peringkat pengguna pula, tidak boleh lepas tangan, ada peranan juga dari segi cara kita melihat ekonomi, berbelanja kena berhemat seperti mengutamakan aspek makanan dan pendidikan," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Jelasnya, pada masa seperti inilah penyatuan dan kerjasama pihak pengguna peniaga dan kerajaan sangat penting, termasuk dalam aspek penetapan harga yang berpatutan dan penambahbaikan gaji.
Sementara itu, golongan peniaga khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dinasihat berfikir secara kreatif dan objektif dalam menangani kenaikan harga barang.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro Abd Azharee Abdul Wahid berkata, paling utama adalah melengkapkan diri dengan ilmu dan perancangan yang menyeluruh.
"Kena pandai dan tahu merancang perniagaan. Kalau ada perancangan, sebagai contoh, kita sudah boleh agak, dua pekerja mungkin membebankan, jadi kita kurangkan jadi satu.
"Tetapi hendak merancang juga kena ada ilmu, kerana ilmu itu akan membantu peniaga memahami isu utamanya. Ini akan menguji minda usahawan.
"Tetapi, pada masa akan datang ia beri kebaikan, sebab mereka sudah tahu macam mana susun aturnya, apabila harga naik, dia tahu apa nak buat.
"Sebagai contoh, kawal kos sahaja tetapi jualan tidak berlipat kali ganda - itu juga satu masalah. Pembeli juga ada kekangan tertentu, kerana itu perancangan kena lebih menyeluruh, supaya usahawan nampak loophole yang mana mahu ditutup supaya boleh kekal berniaga," jelasnya.
Tambahnya, selain aspek pendigitalan, peniaga juga harus mula mencari alternatif dalam mempromosikan produk mereka, antaranya melalui platform NFT atau block chain yang kini semakin menjadi sebutan ramai.
Usahawan, katanya, perlu mempunyai ilmu secukupnya bagi meneroka platform baharu ini kerana bergantung kepada bantuan atau subsidi semata-mata tidak akan memberi kesan tanpa pengetahuan dan kemahiran yang betul.
#kos sara hidup #peniaga #subsidi #Mohd Azmi Abdul Hamid
;