Kos sara hidup: Penyelesaian tuntas, naikkan pendapatan rakyat - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Disember 30, 2022 22:47 MYT
Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr Zakariah Rashid berpandangan pertambahan pendapatan mampu direalisasikan jika kerajaaan memperbaiki produktiviti kemahiran buruh - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Penyelesaian jangka panjang kepada peningkatan kos sara hidup boleh diatasi dengan menaikkan kadar pendapatan pekerja dalam negara.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berpandangan perkara itu mampu direalisasikan jika kerajaaan memperbaiki produktiviti kemahiran buruh.
Malah ujarnya, ramai yang salah anggap bahawa peningkatan kos sara hidup hanya dikaitkan dengan harga barang atau inflasi semata-mata.
"Saya sudah mengatakan dari awal beberapa tahun dulu sebelum COVID-19 lagi, kos sara hidup (yang dianggap) tinggi ini sebenarnya tidak tinggi tetapi pendapatan kita yang rendah.
"Apabila pendapatan rendah, kita merasakan kos sara hidup tinggi tetapi sebenarnya kos sara hidup kita tidak tinggi. Jadi bermakna penyelesaiannya mudah, nak mengatasi kos sara hidup cara yang paling tuntas ialah dengan meningkatkan pendapatan, dan bukan mengawal harga," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Jumaat malam.
Zakariah menambah, ketika ini tenaga kerja di Malaysia dilihat lebih berkonsepkan buruh kurang mahir.
Jelas beliau, selagi mana para majikan masih bergantung kepada tenaga buruh kurang mahir, ia akan terus menyumbang kepada punca masalah dalam struktur ekonomi negara.
"Masalah meningkatkan gaji, meningkatkan produktiviti adalah masalah jangka panjang dan kita mesti perbaiki produksi teknik (tenaga buruh) dan seterusnya dengan peningkatan kemahiran buruh," ujarnya.
Mengulas lanjut, Zakariah mengakui bahawa kerajaan sebelum ini telah pun melakukan dua perkara utama iaitu meningkatkan pendapatan minimum dan mengawal harga barangan bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
"Jadi kedua-dua perkara ini diterjemahkan dalam bentuk memperbaiki pendapatan benar.
"Tetapi apa yang dilakukan itu bukan bermakna masalah berkenaan terangkat (diatasi) kerana masalah kos sara hidup yang dihadapi oleh negara bukan bersaiz kecil.
"Jadi maknanya apa yang dilakukan hanya untuk meringankan, dan bukan menghapuskan masalah tersebut," tambah Zakariah.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa pekerja di seluruh negara akan menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022.
#kos sara hidup #Pendapatan minimum pekerja Malaysia #inflasi Malaysia #Kerajaan Perpaduan
;