Kos sara hidup antara punca utama perceraian di Selangor
Bernama
Mac 4, 2024 15:51 MYT
Mac 4, 2024 15:51 MYT
SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor dimaklumkan bahawa kos sara hidup tinggi menjadi antara penyumbang kepada jumlah perceraian yang tinggi bagi orang Islam di negeri itu.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata peningkatan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup boleh mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada psikologi dan sosial pasangan sekali gus menyumbang kepada berlakunya penceraian.
"Apabila pendapatan isi rumah tidak dapat menampung perbelanjaan maka mereka perlu keluar mencari pekerjaan sambilan atau tambahan bagi menampung keperluan perbelanjaan yang tidak mencukupi.
"Disebabkan kesibukan bekerja masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan terutama bagi mereka yang telahpun berumah tangga dan akhirnya akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan dengan berlakunya perceraian," katanya ketika menjawab soalan Mu'izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) berhubung faktor-faktor Selangor mencatatkan jumlah penceraian tertinggi berbanding negeri lain pada 2023.
Selain itu, beliau berkata pembangunan pesat dan migrasi penduduk dari luar ke Selangor turut menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian.
Mohammad Fahmi berkata penduduk luar yang bernikah di luar Selangor dan kemudian bekerja serta bermastautin pastinya mendaftarkan penceraian di Selangor kerana masalah berkaitan institusi kekeluargaan seperti perceraian perlu didaftar serta diselesai berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di tempat mastautin pihak yang memohon.
Beliau berkata Jabatan Kehakiman Syariah Selangor turut mencadangkan agar satu kajian yang menyeluruh dilakukan oleh pakar penyelidik dari mana-mana institusi atau agensi untuk mengenal pasti punca sebenar kes perceraian di negeri itu.
Kajian itu, katanya boleh digunakan oleh kerajaan negeri atau agensi berkaitan dalam membuat dasar atau program bagi mengurangkan kadar perceraian di Selangor.
-- BERNAMA