'Kos sara hidup antara faktor tiada kerjasama, kebersamaan di PPR'
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 18, 2023 12:21 MYT
Mei 18, 2023 12:21 MYT
KUALA LUMPUR : Kegawatan kos sara hidup ketika ini dilihat antara faktor menyebabkan penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) tidak bekerjasama, terutamanya dalam memastikan kebersihan dan kelestarian kawasan tempat tinggal mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Petaling Jaya (MyPJ) Jeffrey Phang berpendapat, fokus penduduk PPR ketika ini adalah untuk meningkatkan pendapatan, sehingga tiada masa untuk bergaul sesama komuniti setempat.
Justeru, beliau mencadangkan agar sebuah ruang, seperti dewan sedia ada di setiap PPR, diselenggara dengan baik sebagai dewan penjualan bagi meningkatkan pendapatan mereka.
“Ya, ini faktor utama, walaupun ada penduduk yang mahu bersikap prihatin dan mahu bekerjasama dengan pihak pentadbiran untuk bersihkan PPR, tetapi kalau dia tidak cukup dari segi ekonomi dan wang, dia akan sama susah.
“Kita tengok ramai yang menyatakan mereka tidak cukup wang, mereka perlu pergi kerja, sehingga anak-anak pun tidak dijaga.
“Mereka tiada masa, tak cukup pendapatan. Jadi, fokus utama mereka adalah ekonomi, untuk memastikan kehidupan harian mereka dapat diteruskan.
"Kerana itu, kita mesti ada rancangan ekonomi lokal, yang mana kalau boleh, penghuni PPR dapat menjalankan perniagaan mereka sendiri,” jelasnya.
Phang berkata, semua perkara tersebut perlu diatasi untuk memupuk semangat kebersamaan antara penduduk.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI dalam program 'Pantau Kos Sara Hidup: Isu flat kos rendah, memahami aspek budaya' hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan keadaan di Blok C PPR Taman Sri Serigai, Putatan, Sabah yang berbeza dengan perumahan PPR lazimnya.
Penghuni blok tersebut mempamerkan sifat kebersamaan apabila ruang dan infrastuktur di perumahan itu dijaga dengan baik.
Bagi Ketua Blok Jaffri Abdul Rashid, antara usaha yang dilakukan untuk memastikan kelestarian premis mereka ialah dengan melantik ketua bagi setiap tingkat untuk menyuarakan dan menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul.
“Apa sahaja permasalahan kami, sama ada di blok atau di mana-mana, kami akan lakukan perbincangan. Bagi saya, selaku ketua blok, saya melantik setiap tingkat ada satu ketua.
“Di sini ada 10 tingkat, jadi, 10 orang itu akan dipanggil pada setiap perjumpaan untuk cari jalan penyelesaian kepada setiap isu yang boleh ditangani bersama. Sebab, setiap ketua itu tahu komunitinya.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penduduk kerana berikan kerjasama yang sepatutnya.
"Ada juga yang tidak ambil tahu tetapi kami tidak peduli, kami hanya teruskan, lama-lama orang ramai akan turut serta, kami tidak memaksa,” katanya.
Tonton temu bual penuh menerusi pautan di bawah;