Kos RM2 juta untuk baik pulih jalan di Gua Musang - Jakoa

Muhafandi Muhamad
Januari 30, 2017 16:49 MYT
Jakoa perlu mengeluarkan kos lebih RM2 juta untuk membaik pulih jalan balak dan mencuci lumpur selepas banjir di Gua Musang. - fotoBERNAMA
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) perlu mengeluarkan kos lebih RM2 juta untuk membaik pulih jalan balak dan mencuci lumpur di lima laluan utama pos penempatan Orang Asli yang terjejas banjir di Gua Musang.
Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Nik Man Nik Ya berkata, sebanyak lima laluan di kawasan pedalaman telah dikenal pasti mengalami kerosakan.
"Kos tersebut hanya melibatkan jalan sahaja dan tidak termasuk kos untuk membina jambatan.
"Kita hendak mencuci jalan daripada lumpur-lumpur yang agak tebal yang boleh menghalang kenderaan pacuan empat roda kita daripada bawa keluar pelajar kita ini.
Kos yang kita kenal pasti paling murah melibatkan RM2 juta melibatkan lima laluan utama daripada Gob - Kuala Betis, Bihai - Kuala Betis, Hau - Kuala Betis, Balar - Hau dan Belatim ke Balar. Ini satu laluan sebenarnya tidak dapat diatasi kerana masalah sungai yang banyak dan lumpur yang tinggi," katanya.
Menurut Nik Man, pihaknya juga berdepan masalah untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terlibat dengan banjir khususnya di kawasan Pos Pasik, Kampung Kuala Wook, Pos Simpor dan Pos Gob.
"Kira-kira 129 pelajar yang bersekolah di bandar ini juga tidak dapat pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina berikutan jalan rosak.
"Pihak Jakoa terpaksa menggunakan jalan pintas di kawasan ladang dengan bantuan syarikat pengangkutan yang dilantik untuk menghantar dan mengambil pelajar di kampung terlibat," jelasnya.
#JAKOA #Kampung Kuala Wook #Nik Man Nik Ya #Pos Gob #Pos Simpor
;