Kos penginapan hotel tinggi, dorong kuarantin di rumah - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Jun 9, 2020 20:19 MYT
Dr Noor Hisham berkata, selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan, kaedah kuarantin di rumah juga diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. - Gambar BERNAMA
Kos penginapan yang tinggi di hotel menyebabkan kerajaan memutuskan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani tempoh kuarantin di kediaman masing-masing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan, kaedah itu juga diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Katanya, langkah itu diambil selepas mendapati peratusan jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah terlalu kecil.
"Jadi dengan kadar yang rendah, kita rasa ada baiknya kita boleh kuarantin di rumah dan kaedah ini memang diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau mereka menerusi aplikasi MySejahtera dari semasa ke semasa.
Ditanya mengenai penggunaan hydroxychloroquine, beliau menjelaskan, ubat anti malaria itu terbukti membantu memulihkan pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan ringan.
Katanya, kajian yang dijalankan oleh hospital tempatan juga mendapati hydroxychloroquine bukan sahaja membantu melambatkan virus bagi kategori empat dan lima bahkan membantu menghentikan jangkitan itu.
Menurut beliau, kajian itu masih dalam proses pengumpulan data dan akan diterbitkan sebaik lengkap sepenuhnya.
Sama seperti Lopinavir-ritonavir yang digunakan untuk merawat pesakit HIV, katanya, hydroxychloroquine turut digunakan 'off label'.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #HIV #hotel #Hydroxychloroquine #KKM #PKPP #ubat anti malaria #WHO
;